MAHU BUKA KEDAI BUKU TERPAKAI? INI PENGALAMAN SAIFUDDIN, PEMILIK BISTRO PUSTAKA

Kedai buku terpakai ada pesona dan tarikan yang tersendiri. Nikmatnya memuncak apabila terjumpa buku lama yang tinggi nilainya, tersembunyi di sebalik timbunan buku yang lain.

Mencari dan merebut buku terpakai ini bisa mencetuskan deruan adrenalin. Bermula dengan sebuah buku, tiba-tiba penuh sebakul buku yang diambil tanpa sedar.

Namun, ini adalah pengalaman dan perspektif pembaca. Apa pula cerita si pemilik kedai buku terpakai?

Ini adalah perkongsian daripada Ahmad Saifuddin Amran, pemilik kedai buku terpakai Bistro Pustaka. Beliau juga adalah pemilik bersama kepada kedai buku ilmiah Pelita Dhihin.

Sepuluh bulan berulang-alik antara Nilai dan Petaling Jaya menguruskan kedai buku terpakai telah membuka lembaran pengalaman baru. Saya ringkaskan seperti berikut:

1. Perniagaan buku terpakai sangat lumayan jika dijalankan secara solo atau dengan bantuan keluarga. Pendapatan bulanan boleh melebihi pekerjaan sebagai eksekutif biasa.

2. Hal ini kerana margin keuntungannya berlipat kali ganda daripada harga kos. Kadangkala, untuk buku tertentu seperti buku nadir, harganya boleh dijual berlipat kali ganda berbanding harga yang tertera di kulit belakang buku.

3. Namun, untuk meningkatkannya (scale up) menjadi sebuah perniagaan kecil atau sederhana agak sukar. Antara cabaran utamanya ialah mendapatkan perolehan stok secara tetap.

4. Stok yang diterima daripada orang ramai sama ada secara derma atau pembelian, tidak kesemuanya bernilai untuk dijual semula. 80% boleh dikatakan tidak dapat dijual dan terpaksa ditukarkan ke bentuk baru. Satu-satunya cara mendapatkan stok yang baik ialah dengan book hunting. Stok yang bagus boleh diperoleh daripada kedai buku lama, perpustakaan, pengumpul buku, penyelidik, atau akademik. Namun, peluang ini tidak selalu datang.

5. Proses jualannya juga agak renyah kerana kita perlu curate judul-judul yang bagus (atau bahasa laymennya menyelam) daripada timbunan buku. Itupun hanya boleh dijual sekali saja. Harga buku juga tidak boleh ditetapkan terlalu tinggi.

6. Kerana itu ramai pengusaha perniagaan ini akhirnya pivot menjadi penerbit atau penjual buku supaya dapat melangsungkan perniagaan. Menjadi penerbit membolehkan kita menjual buku yang sama beratus malah beribu kali berbanding buku terpakai hanya dapat dijual sekali.

7. Saya belum pernah melihat perniagaan buku terpakai di Malaysia diindustrikan prosesnya. Namun berbeza di negara Eropah yang mana perniagaan buku terpakai sudah mencapai tahap industri. Sebagai contoh Anyamount of Books di UK dan Recyclivre di Perancis. Mereka memiliki gudang khusus menghimpunkan buku-buku terpakai.

8. Perniagaan ini ada potensinya. Namun, pada peringkat awal kita perlu pilih nak main game yang macam mana, margin game (seperti jual buku nadir dan antik) atau volume game (borong seperti Chowrasta).


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *